Wawancara Eksklusif Bersama YDP PEKAP, Datuk Azman Shah bin Abdulah



Wawancara Eksklusif Bersama YDP PEKAP, Datuk Azman Shah bin Abdulah
6 Soalan Istimewa Tentang Harapan, Cabaran dan Arah Tuju PEKAP 2025–2027

Dalam menghadapi arus perubahan dan cabaran semasa, Persatuan Anak-Anak Pahang di Ibukota (PEKAP) terus melangkah dengan penuh iltizam di bawah kepimpinan Yang di-Pertua yang baharu, Datuk Azman Shah bin Abdulah. Berbekalkan pengalaman luas sebagai tokoh korporat, beliau tampil membawa nafas segar berasaskan semangat khidmat tulus, serta komitmen untuk memperkasa PEKAP sebagai sebuah organisasi yang relevan, progresif dan menyantuni segenap lapisan masyarakat.

Keperibadian beliau yang mesra dan mudah didekati merentas generasi menjadikan beliau figur penyatu dalam usaha memperkukuh saf kepimpinan dan jaringan ahli.

Antara keutamaan utama kepimpinan baharu ini ialah memperkukuh kedudukan kewangan PEKAP menerusi pelbagai program strategik yang bukan sahaja merapatkan ukhuwah sesama anak-anak Pahang di perantauan, malah berpotensi menjana pulangan ekonomi yang mampan.

Berikut ialah wawancara eksklusif bersama Datuk Azman Shah, menyelami visi, cabaran dan aspirasi beliau dalam menerajui PEKAP bagi tempoh 2025–2027:


1. Datuk, tahniah atas kemenangan besar dalam pemilihan baru-baru ini. Bagaimana Datuk melihat isyarat yang diberikan oleh ahli terhadap kepimpinan Datuk?
Datuk Azman Shah:
Alhamdulillah. Kemenangan ini adalah satu amanah besar. Ia menunjukkan bahawa ahli mahukan perubahan serta kepimpinan yang lebih dekat dengan denyut nadi mereka. Saya amat menghargai kepercayaan yang diberi dan akan sedaya upaya memastikan mandat ini diterjemahkan dengan sebaiknya.

2. Apakah signifikan undi besar yang diterima oleh Datuk dan pasukan?
Datuk Azman Shah:
Jelas bahawa ahli mahukan pemimpin yang bukan hanya tampil di majlis rasmi, tetapi juga turun padang menyantuni ketika mereka susah. Misalnya, Biro Kebajikan telah menziarahi ahli di hospital dan menghulurkan sokongan kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang. Ini antara nilai kemanusiaan yang ingin kami semarakkan semula dalam budaya PEKAP.

3. Apakah fokus utama kepimpinan Datuk bagi penggal ini?
Datuk Azman Shah:
Sejurus mengambil alih, kami menganjurkan program Iftar Ramadan dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada Asnaf, ahli -ahli PEKAP. Kini, pelbagai program sedang dirancang – bukan sekadar santai atau hiburan semata, tetapi menjurus kepada pengukuhan ukhuwah, pembangunan nilai komuniti, serta penjanaan dana jangka panjang untuk kelangsungan persatuan.

4. Baru-baru ini, PEKAP telah mengadakan pertemuan dengan YAB Menteri Besar Pahang. Boleh Datuk kongsikan hasil pertemuan tersebut?
Datuk Azman Shah:
Alhamdulillah, pertemuan ini berjaya merapatkan lagi hubungan strategik antara PEKAP dan Kerajaan Negeri. Kami membentangkan pelan jangka pendek dan jangka panjang, termasuk perancangan ekonomi dan sosial. YAB Menteri Besar menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama, malah menghargai peranan PEKAP sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat Pahang di Lembah Klang.

5. Datuk telah lama berkhidmat dalam PEKAP. Apakah pengalaman paling berkesan sepanjang penglibatan Datuk?
Datuk Azman Shah:
Saya bermula sebagai AJK biasa sejak tahun 1981. Prinsip saya mudah – fahami budaya dahulu, jangan terus melonjak ke atas. PEKAP ini punya nilai dan adab tersendiri. Tidak boleh ada unsur berpuak atau adu domba. Kepimpinan perlu berdasarkan integriti dan saling menghormati, bukan pengaruh atau populariti semata-mata.


6. Apa harapan Datuk terhadap masa depan PEKAP?
Datuk Azman Shah:
Kita mesti kekal relevan dan bergerak seiring zaman. Cabaran utama adalah kewangan. Sebab itu, penubuhan Biro Ekonomi dan Pelaburan menjadi sangat penting – sebagai pemacu kepada penjanaan pendapatan yang stabil agar PEKAP dapat terus memainkan peranan secara berkesan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana yang sedia ada.

Dengan gabungan pengalaman, prinsip berpegang pada nilai tradisi, serta visi yang jelas ke hadapan, Datuk Azman Shah membawa harapan baharu kepada PEKAP. Misi ini bukan hanya melibatkan program dan pertemuan rasmi, tetapi membina kekuatan komuniti dari hati ke hati — menyulam perpaduan, menjulang martabat anak-anak Pahang di ibu kota dan sekitarnya.


#YDP, TYDP Dato' Abdul Razak Idris/ NYDP Mohd Herman Awang/AJK
#MusKamal@Sheikh/Setiausaha Penerangan & Multimedia PEKAP
#1MEI2025
#Kebajikan & Perpaduan Diutamakan


Comments

Popular posts from this blog

PEKAP: Sebuah Evolusi Dari Sebuah Cita Menjadi Sebuah Warisan

Beyond the Norm — Susuk di Hujung Saf

Bila Kambing Jantan Naik Perahu