PEKAP: Sebuah Evolusi Dari Sebuah Cita Menjadi Sebuah Warisan
AJK PEKAP 2019 - 2021 BERSAMA KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG SEMPENA PERASMIAN BANGUNAN PEKAP, 12 OGOS 2020
"Perubahan bukan sekadar takdir masa, tetapi tanda bahawa kita sedang bergerak, bertumbuh dan belajar menjadi lebih baik."
— Algolgo
Ditubuhkan pada 27 September 1966, PEKAP — singkatan kepada Persatuan Anak-Anak Pahang di Ibukota — lahir daripada keresahan dan harapan segolongan anak watan Pahang yang merantau ke ibu negara demi membina kehidupan. Di sebalik hiruk-pikuk Kuala Lumpur yang sedang membangun, terselit sebuah tekad: untuk tidak membiarkan identiti dan jalinan persaudaraan kampung halaman hanyut ditelan kota.
Di peringkat awal, PEKAP bergerak dengan segala keterbatasan — tanpa pejabat, tanpa dana, dan tanpa kemudahan. Namun, semangat kental para pengasas dan jawatankuasa awal, menjadi akar kepada sebatang pohon yang kini sedang rendang. Mereka berjuang bukan kerana imbuhan, tetapi kerana rasa memiliki dan tanggungjawab terhadap keluarga besar Anak-Anak Pahang di perantauan.
"Tidak semua yang bermula kecil akan kekal kecil — yang penting adalah kemahuan untuk terus hidup dan memberi makna."
Perjalanan PEKAP adalah sebuah evolusi, bukan sekadar dari segi struktur dan organisasi, tetapi juga dari segi wawasan. Lokasi pentadbiran berubah, generasi kepimpinan berganti, namun arah tuju dan jiwanya kekal — memberi khidmat kepada komuniti melalui pelbagai program kebajikan, pendidikan, kerohanian, sosial dan pemerkasaan ekonomi.
Era baru bermula apabila, pada tahun 2010, PEKAP berjaya memiliki sebuah bangunan sendiri — rumah kedai tiga tingkat di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. Ia bukan sekadar pusat pentadbiran, tetapi simbol pencapaian kolektif. Sebuah rumah tumpuan yang menyatukan cita-cita lama dengan strategi masa hadapan.
"Bangunan boleh dibeli, tetapi maknanya terbina daripada usaha dan semangat kolektif yang tidak ternilai."
Kini, setelah hampir enam dekad, PEKAP berdiri sebagai institusi masyarakat yang mapan dan disegani, melalui fasa-fasa peralihan yang mencerminkan adaptasi terhadap perubahan zaman. Setiap era membawa warna tersendiri — dari perjuangan merangkak, ke era pengukuhan, seterusnya kepada era digital dan keterbukaan.
Dengan visi menjadikan PEKAP sebagai Peneraju Pembangunan Keluarga Besar Anak-Anak Pahang di Ibukota, kepimpinan hari ini terus merangka strategi untuk meluaskan impak: bukan sekadar bertumpu kepada kebajikan, tetapi menyemarakkan potensi ahli dalam bidang keusahawanan, profesionalisme dan jaringan sosial yang inklusif.
"Jika kita tahu dari mana kita datang, kita akan lebih jelas ke mana arah yang ingin dituju."
— Tokoh PEKAP
.............
ANTARA KOMEN AHLI PEKAP TENTANG PERSATUAN INI.
Sh Ali Sh Alwi
Ahli PEKAP sejak 2022
“Terima kasih Persatuan PEKAP, dua tahun berturut-turut saya dimasukkan ke hospital, dan dua tahun jugalah saya menerima sumbangan dari PEKAP. Saya amat terharu dengan keprihatinan badan kebajikan ini.”
“Selain itu, PEKAP juga menganjurkan Iftar Ramadan dan Majlis Aidilfitri setiap tahun — satu peluang berharga untuk bertemu kembali dengan rakan-rakan lama serta membina semula jaringan dalam talian. Misalnya, pada majlis Aidilfitri baru-baru ini, saya terserempak dengan saudara lama yang tinggal berhampiran di kampung, tetapi telah lama terputus hubungan. Kami duduk semeja bersama isterinya, berbual panjang dan mengimbau kenangan. Saat kami dibidek kamera hp saya lihat dia menadah tangan ke langit agak lama sehingga selesai dirakam gambar seolah-olah bersyukur atas pertemuan yang tak disangka.”
Haji Zambri Haji Yaakob, Bekas Pegawai Bank.
Ahli sejak 1990 — diperkenalkan oleh Cikgu Mansor Hj Sulung, Setiausaha Agung ke-6.
“Menyertai PEKAP adalah antara peluang terbaik dalam hidup saya untuk mengembangkan rangkaian networking dan mengukuhkan silaturahim tanpa sempadan.”
“Saya fokus dalam bidang hartanah. Melalui PEKAP, saya berkenalan dengan ramai anak-anak Pahang yang sehaluan.
Dua bulan lalu, saya kehilangan insan tersayang. Alhamdulillah, PEKAP melalui Biro Kebajikan segera menghulurkan bantuan. Lebih membanggakan, lima orang anak saya menerima sumbangan atas kecemerlangan akademik mereka.”
“Rezeki anak-anak, duit PEKAP yang bantu. Itulah hikmah menyertai PEKAP,” katanya sambil menamatkan bual bicara lewat panggilan video.
Siri PEKAP, bersambung lagi...
Comments
Post a Comment