Beyond the Norm — Susuk di Hujung Saf

“Ujian dalam hidup adalah untuk menguatkan, bukan melemahkan. Ketahuilah, kesabaran dalam menghadapi dugaan adalah sebaik-baik senjata orang beriman.”

– Saidina Ali r.a


Dalam kehidupan yang fana ini, tidak semua perjalanan kita dihampari kelopak bunga. Ada waktunya, duri-duri ujian menghimpit jiwa. Ada ketikanya, langit harapan mendung dan kelam.

Namun dalam setiap duka, terselit kasih Ilahi yang mengajar erti sabar, reda dan kebersamaan.

Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibukota (PEKAP) tidak pernah berpaling dari tanggung-jawab sosialnya.

Di sebalik kesibukan dunia yang menggoda, tetap ada ruang untuk kita menjenguk, menyantuni dan menguatkan semangat sahabat-sahabat yang diuji.

Dugaan yang menimpa mereka bukanlah beban yang perlu dipikul sendirian. Kehadiran PEKAP adalah lambang sokongan, semangat setia kawan, dan nilai kemanusiaan yang tidak pernah padam.

Catatan terbaru ini berbeza, bukan sekadar lapuran Biro Kebajikan, tetapi menjadi cerminan kasih sejati antara kenalan yang semakin erat persaudaraan, akhirnya menjadi sahabat.

Tragedi di luar nalar manusia dilakarkan kembali, di luar jangka fikiran kita.

Ada yang berbisik, “Dia tak mungkin hidup.”

Tapi Dia yang Maha Kuasa menetapkan sesuatu yang jauh dari jangkaan manusia.

.....

Beyond the Norm — Susuk di Hujung Saf

Setiap kali kaki melangkah ke masjid itu, mataku sering menangkap susuk tubuh yang sama—seorang lelaki separuh abad, bertopang tongkat di bawah lengannya. Seolah-olah sebahagian daripada seni bina ruang suci itu, dia sentiasa hadir, di tempat yang sama, pada waktu yang hampir serupa. Tongkatnya disandarkan kemas di birai pintu, sementara tubuhnya berteleku di kerusi, tetap dan khusyuk menghadap kiblat, di saf paling hadapan — hujung sebelah kiri.

Sebelum solat, dia akan membetulkan serbannya, ikatan ringkas ala Yassir Arafat. Mungkin itu cara dia menyiapkan dirinya — bukan sekadar fizikal, tetapi juga batin — untuk menghadap Tuhan. Seusai solat, dia tidak lekas bangkit atau berbual kosong. Sebaliknya, dia akan terus larut dalam zikir dan bacaan Al-Quran. Dunia luar seolah-olah terhenti di sisinya. Tiada siapa yang benar-benar tahu siapa dia. Dan mungkin itu kehendaknya — untuk kekal rahsia.

Namun bagi mereka yang pernah disentuh tak langsung oleh dirinya, nama itu tetap disebut dengan hormat. Sh. Samsul. Bukan wira yang dipuja di dada akhbar. Tetapi seorang unsung hero — yang diam-diam membimbing ramai anak muda menjejak jalan perniagaan dan kehidupan.


Gambar rajah : 

18 jam operasi di bahagian muka,
dipasang 12 plat dan 73 skru.

.....

Sebelum Langit Gelap

Dahulu, sebelum segala berubah, dia dikenali. Tapi dia tidak pernah menagih pengiktirafan. Bahkan, ayahandanya sendiri pun tidak tahu secara tepat pekerjaan sebenar anaknya. Sehinggalah satu hari, sang ayah terpandang anak itu duduk di barisan utama dalam satu majlis pemeteraian perjanjian besar antara syarikat tempatan dan pelabur antarabangsa. Di atas pentas, dengan tenang, Sh. Samsul menjadi saksi dalam majlis menandatangani MOU. Barulah diketahui... dia hanyalah seorang "konsultan".

Tapi konsultan apa?

Hari yang Meroboh Dunia

Tahun 2011, dunia yang dibina perlahan-lahan oleh Samsul hancur sekelip mata. Ketika menunggang Harley Davidson di lorong ketiga, sebuah MPV dari lorong satu tiba-tiba hilang kawalan, meluru ke arahnya, akibat pemandu leka berbual melalui telefon. Dalam detik-detik genting itu, Samsul dihadapkan dengan dua pilihan: melanggar MPV atau kon batu yang berderet di tepi jalan.

"Saya pilih MPV. Sekurangnya, harapan untuk terus hidup masih ada…", katanya dengan tenang, suatu petang, ketika kami berbual.

Namun, takdir tidak semudah itu. Dia koma dua bulan. Terlantar enam bulan di Hospital Sungai Buloh. Ramai teman yang datang menjenguk hanya mampu menggeleng kepala. "Gelap... harapan gelap," kata mereka.

Mukanya hancur — tiada bentuk. Doktor tak beri harapan. Dalam satu operasi penuh risiko, mukanya dipasangkan 12 plat logam dan 73 skru. Mata kanannya tidak dapat diselamatkan — kini diganti dengan mata palsu. Kedua-dua kakinya ditanam besi, satu di tangan, dan wajahnya menjadi seperti teka-teki mekanikal ciptaan keajaiban Tuhan.

Ada yang berbisik, “Dia tak mungkin hidup.”

Tapi Dia yang Maha Kuasa menetapkan sesuatu yang jauh dari jangkaan manusia. Dan Sh. Samsul kembali, tidak sebagai bayang dirinya yang dulu, tetapi sebagai insan yang melangkah beyond the norm.

Titik Mula yang Baru

Sejak 2012, dia memulakan semula hidupnya. Perlahan-lahan dan tenang. Di sisi dinding masjid. Dengan serban di kepala, dan Al-Quran di tangan. Bukan untuk dipuja atau disebut, tetapi untuk mencari kedamaian yang barangkali tak pernah dirasanya dahulu.

Pesan gurunya kekal tersemat sebagai azimat: "Kita kena bersedia awal. Jangan sesekali putus wuduk."

Ketika aku menanyakan kembali tentang kejadian itu, dia memandangku. Mata asli dan mata palsunya bergerak tidak sekata — satu memandang tepat, satu lagi ke sisi. Tapi kata-katanya, menusuk terus ke dada.

"Ketentuan Ilahi. Cermat macam mana pun... kalau Dia dah tetapkan, tetap kena. Tapi aku bersyukur... diberi peluang kedua."

Dan perbualan kami pun berakhir. Pendek, tetapi mendalam. Seperti hidupnya - kontot, tapi sarat makna.

Comments

Popular posts from this blog

PEKAP: Sebuah Evolusi Dari Sebuah Cita Menjadi Sebuah Warisan

Bila Kambing Jantan Naik Perahu