Mudik lebaran : Pulang ke Kampung Kenangan, menghimpun Rindu di Syawal
Sebuah catatan anak perantau di ibu kota. Nak mudik raya atau beraya di KL?
Melihat kesesakan di jalan raya atau lebuh raya, seakan menjadi lemas kehilangan oksigen secara tiba-tiba.
"Mudik" artinya pulang ke kampung halaman, terutama saat perayaan Lebaran, dan berasal dari bahasa Jawa "mulih dhisik" yang berarti "pulang dulu" atau "pulang sebentar".
Dahulu, setiap kali menjelang raya, kami kanak-kanak sudah teruja berminggu-minggu sebelumnya.
Kadang-kadang, kami sendiri yang mengira bilangan hari di kalendar, menunggu saat ibu dan ayah mengumumkan tarikh bertolak pulang ke kampung.
Kegembiraan itu tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Di kampung, Aidilfitri bukan sekadar tentang juadah enak atau baju baharu, tetapi tentang jiwa dan kenangan.
Malam raya, kami berkumpul di rumah nenek, bersama sepupu dan sanak saudara.
Bunyi mercun buluh berdentum, dihalakan ke pokok mangga sehingga buah-buahnya meluruh jatuh.
Kami ketawa riang, bersorak-sorai dalam kehangatan kasih keluarga.
Pagi Syawal, seusai solat sunat Aidilfitri, kami kanak-kanak akan berlarian ke kuburan untuk menyertai tahlil arwah.
Ramai yang hadir, mendoakan roh-roh yang telah pergi. Kami duduk bersimpuh dalam kelompok kecil, membaca surah Yasin dan berdoa dengan khusyuk.
Setiap selesai satu tahlil, tangan kami disambut dengan syiling dan wang kertas kecil—hasil sedekah mereka yang datang.
Inilah antara tradisi yang paling kami nantikan, kerana dalam sehari, kami mampu mengumpul belasan ringgit.
Duit itu akan disimpan rapi atau dibelanjakan untuk membeli mercun dan jajan.
Selepas itu, kunjung-mengunjung bermula.
Rumah nenek sentiasa meriah dengan tetamu. Ada yang datang dari jauh, membawa buah tangan dan cerita baharu.
Setiap sudut rumah berisi gelak ketawa, aroma rendang dan ketupat, serta bunyi suara kanak-kanak berkejaran.
Tahun demi tahun berlalu, tradisi ini masih segar dalam ingatan.
Namun, semakin dewasa, semakin kita mengerti makna sebenar Aidilfitri. Ia bukan sekadar kemeriahan, tetapi pertemuan, keinsafan, dan kasih sayang yang tidak ternilai.
Mudik adalah perjalanan jiwa, bukan sekadar tubuh.
Di mana pun kita beraya, kampung halaman tetap tersemat dalam sanubari.
Selamat Hari Raya, dari seorang anak perantau yang selalu mengenang. Maaf zahir dan batin.
Comments
Post a Comment