Prihal Berguru dan Falsafah Ilmu dalam Islam
Sejak awal tahun lagi, beliau telah menanam tekad yang kukuh untuk belajar dan menamatkan pengajiannya. Haji Ibrahim—seorang ‘pendahaga ilmu’—sanggup memandu kereta berulang-alik dua kali seminggu ke Masjid Negara demi memperbaiki bacaan Al-Quran.
"Mata masih jelas, tapi badan dah tak kuat," katanya tenang. Namun semangatnya jauh lebih muda daripada usia senjanya. “Nak buat apa lagi dah pencen… anak pun dah besar-besar,” tambah beliau sambil tersenyum.
Ilmu tidak mengenal usia
Haji Ibrahim Mat Nor, seorang pesara kerajaan dari Bentong, Pahang kini berusia 75 tahun, hidup bersama isteri setelah anak-anak berhijrah ke kota lain. "Kadang-kadang terasa rugi kalau tak belajar," katanya penuh kesedaran. Beliau menanam tekad untuk berguru semula demi membetulkan bacaan Al-Quran mengikut Resam Uthmani, sebagai kesinambungan kaedah Baghdadiyah yang telah beliau pelajari terdahulu.
“Selagi hayat dikandung badan, selagi itu kita dituntut untuk mencari ilmu,” katanya, mengutip makna sabda Rasulullah SAW:
"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad."
Di Masjid Negara, beliau dibimbing oleh guru-guru bertauliah dan berpengalaman. Pelajar diajar kembali asas tanda-tanda bacaan Al-Quran seperti tanwin, sukun, mad dan qasr, tajwid, serta makhraj huruf dengan pendekatan yang santai, diselang seli dengan anekdot yang menghidupkan suasana pembelajaran.
"Belajar dalam suasana pelbagai golongan memang menyeronokkan," kongsi beliau.
Kenangan Memondok & Ujian Kesihatan
Haji Ibrahim pernah menuntut secara tradisional—‘memondok’—di Pasir Mas, Kelantan selama satu setengah tahun. “Seronok di sana, orangnya baik-baik belaka,” kenangnya. Namun takdir menentukan segalanya. Serangan jantung memaksa beliau dirawat dari Hospital Bentong ke IJN, Kuala Lumpur. Kini, dengan sepuluh jenis ubat setiap pagi dan malam, beliau masih bersemangat menyambung pengajiannya.
"Dah tak berani memandu waktu malam, CPU pun dah lemah," katanya berseloroh, merujuk kelewatan daya fikir akibat usia. Namun itu tidak menjadi penghalang untuk terus ‘berguru’, walau harus bermalam bertilamkan tikar toto di masjid.
Pengorbanan Mereka yang Hauskan Ilmu
Kisah Haji Ibrahim bukanlah satu-satunya bukti betapa tinggi nilainya ilmu di mata umat Islam. Ramai lagi insan yang menjadi lambang kesungguhan dalam menuntut ilmu:
Sepasang suami isteri dari Muadzam Shah, Pahang, sanggup bertolak jam 3 pagi ke Universiti Malaya setiap Sabtu selama dua tahun demi menyempurnakan pengajian Usuluddin.
Sepasang pelajar dari Johor Bahru berulang-alik ke Masjid Negara dua kali seminggu untuk belajar Bahasa Arab.
Seorang lelaki berusia 70-an menunggang motosikal dari Bidor selama dua tahun semata-mata untuk mendalami ilmu tajwid.
Dua orang wanita dari Seremban, dalam usia 20-an dan 40-an, gigih belajar Al-Quran hampir dua tahun dan berhasrat menyambung ke tahap lebih tinggi.
Mereka inilah pencari ilmu sebenar—pejuang dalam senyap—yang menjunjung sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa yang keluar menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah hingga dia kembali."
(Riwayat al-Tirmizi)
Menuntut Ilmu: Jalan Ke Syurga dan Kedudukan Syahid
Menuntut ilmu adalah fardu ain bagi setiap Muslim, terutama ilmu agama. Menurut hadis, seseorang yang keluar menuntut ilmu dan meninggal dalam keadaan itu, maka ia tergolong sebagai syahid di sisi Allah:
"Barang siapa mati dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka dia berada di dalam Syurga kelak satu darjat dengan para nabi."
(Imam Al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin)
Namun, syahid ini adalah syahid akhirat, bukan syahid dunia. Jenazahnya tetap dimandikan dan disolatkan. Syarat utamanya: ikhlas kerana Allah.
Riwayat Abu Yazid Al-Bustami: Cinta Ilmu yang Mistik
Abu Yazid Al-Bustami, seorang tokoh sufi, berguru dengan lebih 113 orang ulama. Suatu hari, ketika ingin menuntut ilmu dengan seorang guru di Kufah, beliau membatalkan hasrat itu hanya kerana melihat guru tersebut meludah ke arah kiblat. Bagi beliau, adab terhadap kiblat adalah lambang adab terhadap ilmu dan agama.
Dalam riwayat lain, beliau hampir berhenti belajar kerana kecewa tidak memahami pelajaran. Namun ketika melalui sebuah ceruk bukit, beliau melihat titisan air yang lembut mampu melubangi batu keras. Tersentak dengan simbolik itu, beliau kembali belajar dengan semangat yang lebih membara.
Akhirnya, beliau mencapai maqam ma’rifat tertinggi dan dikenali sebagai Sultan Auliya’. Keasyikan beliau terhadap Allah membuatkan beliau lupa nama anak muridnya sendiri.
"Bukan aku mengolok-olokmu, Anakku. Tetapi nama-Nya telah memasuki hatiku dan menghapus semua nama lain dari ingatanku."
Falsafah Ilmu Menyuluh Jalan Hidup
Menuntut ilmu bukan sekadar proses menambah pengetahuan, tetapi satu ibadah, satu perjuangan, dan satu tanda kecintaan kepada Allah SWT.
Bergurulah selagi hayat masih bersisa. Kerana dalam berguru ada barakah. Dalam menuntut ilmu, ada rahmat. Dalam kesungguhan belajar, tersimpan kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
"Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat."
(Surah al-Mujadalah, ayat 11)
Comments
Post a Comment