Asal-Usul PEKAP: Dari Kerusi Usang ke Wadah Bersejarah
Hj. Mohd Amin bin Hj. Hassan
YDP PERTAMA - 1966 - 1976
Tuan Hj. Sabaruddin bin Idris
SETIAUSAHA AGONG PERTAMA - 1966 - 1980
Mukadimah Siri Sejarah PEKAP
.....
Di tengah arus pembangunan pesat ibu kota pada pertengahan 1960-an, sekumpulan anak jati Pahang yang berhijrah ke Kuala Lumpur dan Selangor mula menyedari satu keperluan mendesak - perlunya sebuah wadah yang mampu menyatukan mereka di bawah panji kebajikan dan persaudaraan. Pada tahun 1965, benih idea itu mula berputik apabila sekumpulan perantau dari Temerloh menganjurkan Majlis Makan Malam di TPCA, Kuala Lumpur. Acara itu bukan sekadar pertemuan sosial, tetapi menjadi medan muafakat bagi membincangkan nasib dan masa depan Anak-Anak Pahang di ibu kota.
Lahirlah PEKAP - Persatuan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota - bukan atas dasar suka-suka, tetapi lahir dari semangat kental untuk saling membantu dan menjaga kebajikan sesama sendiri. Ketika ada yang jatuh sakit, ditimpa musibah atau berdepan kematian, perlu ada tangan yang sedia menghulurkan bantuan. Atas prinsip “Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”, PEKAP telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1966. Hari ini, setelah hampir enam dekad berlalu, sumbangannya kepada ahli dan komuniti sangat besar dan terus dihargai.
Menurut seorang veteran PEKAP, sejarah awalnya bermula di sebuah kerusi kayu usang berhampiran Dewan Masyarakat Kampung Baru—di situlah tercetusnya ilham menubuhkan persatuan. Turut hadir ketika itu mungkin Setiausaha Agung pertama serta barisan awal Yang Dipertua. Apa yang pasti, segala-galanya bermula daripada keikhlasan dan kefahaman mendalam terhadap keperluan semasa dalam suasana perantauan yang tidak menjanjikan kehidupan selesa.
Ketokohan barisan pengasas dalam mencari dana dan membina jaringan amat terserlah. Ramai antara mereka mempunyai hubungan rapat dengan tokoh-tokoh besar, termasuk kerabat istana. Dengan reputasi dan kepercayaan yang terjalin, PEKAP berkembang pesat, berpindah-randah lokasi seperti pasukan Formula 1: Dari satu venue ke datu venue. Dari Jalan Imbi ke beberapa lokasi lain, hinggalah ke kediaman tetapnya di Jalan Setia Wangsa. Sembilan lokasi, sembilan fasa perjuangan.
Kata ahli falsafah George Santayana pernah mengingatkan:
“Those who forget history are doomed to repeat it.”
“Mereka yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya.”
Maka, wajarlah sejarah PEKAP disingkap dan dikongsi agar roh perjuangan tidak luput ditelan debu kemodenan.
Ini bukan sekadar catatan sejarah, tetapi warisan nilai - yang menghidupkan semangat ukhwah, kesetiaan dan kasih sayang sesama perantau. Perjuangan membantu ahli yang ditimpa kesusahan bukan sekadar slogan, bahkan termaktub dalam perlembagaan PEKAP dan dilaksanakan tanpa kerenah birokrasi.
DATUK AZMAN SHAH BIN ABDULLAH
YDP PEKAP
Kini, pentadbiran baharu PEKAP bagi sesi 2025 - 2027 melangkah dengan lebih cekap dan dinamik. Demi mempermudah urusan kebajikan, Yang Dipertua, Datuk Azman Shah bin Abdullah, sendiri memimpin sebagai Pengerusi Biro Kebajikan.
Dato' Razak bin Idris, selaku Timbalan YDP, bersama Tuan Herman bin Awang sebagai Naib YDP, mengemudi biro masing-masing untuk memperkukuh perjalanan PEKAP agar kekal di landasan yang betul - meneruskan tradisi para pendahulu.
Ini merupakan bukti keprihatinan dan tanggungjawab pentadbiran masa kini - bukan sahaja mengekalkan legasi, bahkan melonjakkannya ke tahap yang lebih mampan.
Siri Sejarah PEKAP ini ditulis bukan sekadar untuk mengenang, tetapi untuk memberi inspirasi - agar generasi baharu tidak lupa akar mereka. Semoga kesinambungan perjuangan ini tidak tersekat dalam terowong gelap akibat pergolakan dalaman, tetapi terus mara, dipandu cahaya harapan.
Semoga perjalanan panjang ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Aamiin.
.....
Rujukan :
Dari Coffee Table Book PEKAP 1966 – 1921
Warisan dan Wawasan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota
Terbitan 2019 / Evolusi PEKAP / Sejarah, Galeri & Album
Catatan : Dari cetusan pemikiran Setiausaha Agong Pertama PEKAP 1966 – 1980
.....
Bersambung Edisi ke-2
Comments
Post a Comment